Inisiatif kerajaan lega beban rakyat luar bandar – Felix Joseph Saang



Inisiatif kerajaan lega beban rakyat luar bandar – Pemuda UPKO

Julai 23, 2025, Rabu - 4:10pm

FELIX

TELUPID: Beberapa pengumuman penting yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan perpaduan dalam membela nasib rakyat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, pengumuman yang merangkumi sumbangan tunai RM100 kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas, penurunan kadar bil elektrik, cuti umum sempena Hari Malaysia serta peluasan Program Jualan Rahmah ke seluruh negara bakal memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana golongan, terutamanya komuniti luar bandar yang masih ketinggalan dari segi capaian kemudahan asas dan subsidi kerajaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memberikan mesej jelas bahawa kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran berkata, bantuan tunai RM100 mungkin kelihatan kecil pada nilaian umum, namun hakikatnya cukup bermakna bagi keluarga berpendapatan rendah di luar bandar.

“Bagi penduduk seperti di Telupid, jumlah ini mampu digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan, susu anak atau minyak kenderaan bagi tempoh tertentu.

“Penurunan kadar bil elektrik pula adalah langkah tepat kerana rakyat, khususnya di luar bandar, terus terbeban dengan caj utiliti yang tinggi. Inisiatif ini akan memberi kesan langsung kepada kualiti hidup mereka,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pengisytiharan cuti umum sempena Hari Malaysia yang disifatkan sebagai simbol penghargaan dan penyatuan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Selama ini, rakyat di Borneo sering beranggapan sambutan Hari Malaysia tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Pengisytiharan ini membuktikan kerajaan kini lebih inklusif dan menghargai semua negeri secara adil,” katanya.

Mengulas mengenai peluasan Program Jualan Rahmah ke kawasan pedalaman, Felix berkata, langkah itu amat tepat dan dinanti-nantikan oleh penduduk luar bandar.

“Program ini bukan sahaja membantu menurunkan kos sara hidup rakyat, malah meningkatkan kehadiran kerajaan di peringkat akar umbi, sesuatu yang sering dinantikan oleh masyarakat luar bandar.

“UPKO Bahagian Beluran, khususnya di Telupid, bersedia bekerjasama sebagai rakan pelaksana bagi memastikan program ini sampai ke kampung-kampung terpencil dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar,” katanya.

Menurutnya, dengan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, pendekatan berfokus rakyat seperti yang diumumkan Perdana Menteri diyakini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Kami percaya, dengan komitmen berterusan daripada pimpinan negara, tiada sesiapa akan tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Oleh :Hamzah Sanudin

Catatan popular daripada blog ini

KAD WARGA EMAS UNTUK 60 TAHUN KE ATAS

MICHAEL SAH TIDAK BERTANDING

PEMINAT BOLASEPAK SEKITAR DAERAH TELUPID DI JEMPUT MENYAKSIKAN PERLAWANAN AMAL MIX VETERAN TELUPID MENENTANG EX-SABAH 90 FC