SABAH JAMIN PERLUASAN TPA 30%

KOTA KINABALU 8 Nov. - Sabah berada di landasan tepat dan memberi jaminan untuk meluaskan Kawasan Perlindungan Penuh (TPA) kawasan daratan negeri ini kepada 30 peratus dalam 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, perluasan 30 peratus itu akan meningkatkan TPA sedia ada iaitu 1.8 juta hektar atau 24.2 peratus daripada keluasan negeri ini.

Tegasnya, usaha itu bukan sahaja perlindungan di atas kertas sebaliknya ditadbir urus dengan baik termasuk menambah sumber keupayaan bagi melindungi kawasan biologi spesies hidupan liar daripada ancaman seperti pemburuan haram.

"Kerajaan negeri komited untuk memastikan ekosistem alam sekitar yang unik di negeri ini terpelihara. Oleh itu, saya berikrar dan memberi jaminan untuk meluaskan TPA kepada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Borneo atau Heart of Borneo, di sini hari ini.

Tambah Musa, perluasan TPA itu perlu dijalankan seiring dengan rasionalisasi penggunaan tanah bagi kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat tempatan terutama mereka yang tinggal di dalam atau sekitar kawasan perlindungan.

Katanya, masyarakat juga perlu dilibatkan melalui pelbagai inisiatif seperti eko-pelancongan dan dipandu bagi memastikan mereka akan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Ujar beliau lagi, pengurusan hutan yang baik perlu dirangsangkan termasuk usaha bagi memulihkan hutan Sabah dari segi kapasiti produktif serta fungsinya.

"Kerajaan negeri telah membuat pelaburan yang besar, sehingga kini, peneraju dalam Unit Pengurusan Hutan telah memulihkan serta menanam semula sehingga 600,000 hektar hutan iaitu merupakan saiz terbesar di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, penekanan yang sama telah diberikan kepada pembangunan tanah di luar kawasan perlindungan hutan dan hutan simpan melalui pengenalan amalan-amalan terbaik dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian.

"Salah satu inisiatif yang diperkenalkan di Sabah ialah Perakuan Kelestarian Minyak Sawit Sabah, program 10 tahun yang dilancarkan pada tahun lalu bagi membolehkan keluaran minyak sawit negeri itu diperakui sebagai minyak sawit yang lestari.

"Saya berharap menjelang 2025, semua ladang kelapa sawit, baik ladang besar dan kecil diiktiraf sepenuhnya," katanya. - UTUSAN ONLINE

https://m.utusan.com.my/berita/nasional/sabah-jamin-perluasan-tpa-30-peratus-1.405180#sthash.A8b7Br20.dpuf

Catatan popular daripada blog ini

KAD WARGA EMAS UNTUK 60 TAHUN KE ATAS

UPKO GESA PEWUJUDAN MAJLIS DAERAH TELUPID

MVT 1 - Pejabat Daerah Tongod 2